Evolusi Konsep Pemasaran

Konsep Pengeluaran
Di bawah konsep ini, pengguna dianggap sebagai mempunyai kecenderungan untuk memilih keluaran-keluaran yang tersedia dan berharga murah. Bertolak dari itu pengurusan menekankan usahanya untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran dan agihan.  Konsep ini merupakan falsafah tertua yang diperkenalkan oleh pemasar.  Konsep ini bersesuaian apabila permintaan sesuatu keluaran melebihi penawaran yang memberi alas an kepada pihak pengurusan untuk meningkatkan pengeluaran.  Satu lagi dimana konsep pengeluaran ini sesuai ialah apabila kos pengeluaran tinggi dan keluaran tersebut memerlukan peningkatan produktiviti untuk menurunkan kos.  Konsep pengeluaran tidak begitu sesuai dalam pemasaran moden kerana falsafah ini terlalu menekankan kepada aspek-aspek pengeluaran dan agihan dan bukannya kepada keperluan pengguna.

Konsep Keluaran

Konsep keluaran beranggapan bahawa pengguna lebih gemar kepada keluaran-keluaran yang berkualiti tinggi, mempunyai banyak ciri rupa dan berprestasi tinggi.  Oleh sebab kepentingan utama diberikan kepada penghasilan keluaran bermutu tinggi, penekanan usaha pengurusan mengarah kepada pembetulan dan pembaikan keluaran yang berterusan.  Falsafah ini bukannya bersesuaian dengan setiap segmen pasaran yang ada.  Sebagai contoh,kebanyakan pemilik kereta tidak mencari  kenderaan terbaik di pasaran tetapi memadai dengan kenderaan yang boleh dipercayai.  Konsep keluaran boleh menghasilkan myopia pemasaran kerana terlalu menekankan kepada keluaran dan bukannya penyelesaian masalah yang dicari pengguna.

Konsep Jualan

Teras utama di bawah konsep jualan ialah pengguna tidak akan membeli jumlah keluaran yang mencukupi jika organisasi tidak menyalurkan usaha untuk menjual dan mempromosinya.  Oleh itu organisasi yang berpegang kepada konsep jualan mempunyai kecenderungan untuk melibatkan diri dengan teknik penjualan keras (hard selling).  Sebagai contoh, individu yang menunjukkan kegemaran terhadap sesuatu model kenderaan akan digesa untuk membuat keputusan pada masa itu juga untuk mengelakkan daripada model itu dijual kepada orang lain.  Organisasi akan menggunakan banyak wang untuk mempromosikan keluaran melalui media elektronik, cetak dan lain-lain lagi kerana pengurusan mempercayai bahawa pelaburan ini akan menghasilkan jualan.  Segala kelemahan keluaran disorok bagi menghasilkan jualan dan kepuasan pengguna selepas jualan diabaikan.

Konsep Pemasaran Moden

Falsafah ini menerangkan bahawa pencapaian matlamat sesebuah organisasi bergantung kepada penentuan keperluan dan kehendak pasaran sasaran dan penyampaian kepuasan tersebut dengan lebih cekap dan berkesan daripada saingan.  Konsep pemasaran berbeza daripada konsep jualan dari beberapa aspek:


Konsep jualan menekankan kepada keperluan penjual manakala konsep pemasaran menekankan kepada keperluan pembeli.  Penjual yang berpegang kepada falsafah jualan menitikberatkan penukaran kepada wang ringgit.  Konsep pemasaran memberi penekanan kepada kepuasan pengguna melalui keluaran dan faedah-faedah lain yang ditawarkan.  Melalui konsep pemasaran, organisasi menghasilkan keluaran yang dikehendaki oleh pengguna dan dengan itu berjaya menghasilkan keuntungan dengan memuaskan kehendak pengguna.

Konsep Pemasaran Kemasyarakatan

Di samping memberi kepuasan kepada pengguna sasaran dengan lebih cekap dan berkesan dari saingan, konsep ini memerlukan pemasar untuk mengambil berat tentang hal-ehwal dan kebajikan pengguna dan masyarakat.  Pemasar tidak boleh mengambil tindakan sembarangan dalam mencapai objektif organisasinya tetapi perlu mempertimbangkan tentang persekitaran, sumber yang terhad dan masalah kemiskinan dan kelaparan.  Falsafah pemasaran kemasyarakatan ini memerlukan organisasi untuk memahami dan memuaskan kehendak pengguna melalui cara yang terbaik bagi pengguna dan masyarakat dalam jangka masa panjang.  Tidak seperti   konsep pemasaran, konsep ini memerlukan pemasar mengimbangi antara kehendak jangka masa pendek dengan kebajikan pengguna dalam  jangka masa panjang.  Syarikat yang mengeluarkan system airm panas bertenaga suria sebenarnya menawarkan pilihan kepada pengguna untuk mengurangkan pergantungan kepada bekalan elektrik pusat yang memerlukan pembinaan empangan dan kerosakan pada persekitaran.

Categories: Share

Leave a Reply