Persekitaran Pemasaran

Untuk berjaya syarikat perlu menyesuaikan serta mengadaptasikan paduan pemasaran dengan pola dan perkembangan dalam persekitarannya.  Persekitaran ini boleh berubah secara perlahan atau secara mendadak dan ini akan memberikan kesan terhadap syarikat.  Persekitaran boleh dibahagikan kepada dua; Persekitaran Dalaman dan Persekitaran Luaran.

Persekitaran Dalaman

Persekitaran Dalaman adalah elemen kawalan dari dalam syarikat serta kakitangannya.  Terdapat 5 pengaruh utama persekitaran dalaman bagi sesebuah syarikat perniagaan.
Pemilik Perniagaan

Dasar, polisi dan halatuju syarikat akan ditentukan oleh pemilik syarikat.  Pemasar akan menyediakan pelan pemasaran sebagaimana yang dikehendaki syarikat.

Pelabur

Para pelabur mempunyai kepentingan terus terhadap prestasi dan pencapaian syarikat.  Oleh itu dasar perjalanan syarikat banyak ditentukan oleh para pelabor terlebih dahulu dan pemasar akan menentukan pelan pemasaran mengikut dasar yang ditentukan.

Pekerja

Pekerja terlibat secara terus dalam operasi atau perkhidmatan syarikat.  Pekerja akan diberi gaji dan lain-lain faedah sampingan seperti cuti tahunan, kemudahan perubatan, bonus, peluang melanjutkan pelajaran dan sebagainya.  Pekerja pada asasnya memerlukan perhatian dan dihargai oleh syarikat.

Pengguna

Pelanggan merupakan pengguna kepada produk atau perkhidmatan syarikat.  Kejayaan sesebuah syarikat bergantung kepada sejauh mana syarikat berjaya memenuhi kehendak pelanggan.

Pembekal

Pembekal terdiri dari firma dan individu yang menyediakan sumber bagi membolehkan syarikat membuat produk atau perkhidmatan kepada sasaran pasaran.  Sebarang perubahan yang mendadak akan mempengaruhi pengagihan sumber.  Contohnya perubahan harga disebabkan sumber yang terhad, kelewatan, mogok atau peristiwa luar jangkaan pasti akan menjejaskan operasi syarikat.

Persekitaran Luaran

Persekitaran luaran adalah elemen di luar kawalan syarikat yang akan memberikan kesan terhadap aktiviti pemasaran.  Ada 5 faktor utama:

Persekitaran Politik dan Undang-Undang

Contohnya peraturan dan kawalan terhadap penggunaan sesuatu barangan akan memberikan kesan terhadap arah dan halatuju perniagaan bagi barangan serta industri tersebut.  Akta dan perundangan yang berkuatkuasa bertujuan untuk melindungi pengguna dan pelanggan daripada amalan perniagaan yang tidak adil.  Ia juga adalah untuk memastikan aktiviti perniagaan disempurnakan dengan sebaik mungkin  Dari semasa kesemasa perundangan sentiasa diperbaharui dan ini akan memberikan kesan terhadap aktiviti syarikat.  Pemasar harus mengambilkira perubahan yang berlaku supaya aktiviti yang bersangkutan dengannya dapat dilaksanakan dengan baik.

Persekitaran Sosial dan Budaya

Budaya ialah satu set corak gelagat dan tingkah laku yang membezakan antara satu masyarakat dengan masyarakat yang lain.  Budaya meliputi cara berfikir, percakapan dan perbuatan yang dimanifestasikan dalam tradisi, bahasa, kebendaan dan system sikap yang dikongsi bersama.  Tren, gaya dan kaedah pemikiran sesuatu masyarakat serta tindakan mereka mempunyai kesan yang besar terhadap pengurusan dan pemasaran.  Contohnya, trend wanita bekerja, penjagaan kecantikan dan kesihatan dsb.  Kesedaran terhadap cara pemikiran, gaya hidup, nilai serta budaya  sesuatu masyarakat  akan memberikan cabaran kepada pemasar agar dapat memenuhi kehendak dan keperluan pengguna.

Persekitaran Teknologi

Perubahan teknologi sentiasa berlaku dari semasa ke semasa.  Perubahan ini akan memberi kesan langsung kepada syarikat.  Perubahan teknologi yang terlalu cepat akan menyebabkan syarikat ketinggalan berbanding dengan pesaing.  Perubahan teknologi akan menggalakkan pembentukan produk serta perkhidmatan yang baru.

Persekitaran Ekonomi

Keadaan ekonomi akan menentukan trend permintaan dan perbelanjaan pengguna, peniaga dan kerajaan.  Ini akan mempengaruhi setiap pelan pemasaran.  Antara factor yang perlu diberi pemerhatian oleh pemasar ialah kadar inflasi, kegawatan dan kadar faedah.  Pada kebiasaannya, perbelanjaan pengguna akan meningkat bilamana mereka merasa yakin terhadap jangkaan situasi ekonomi yang baik pada masa hadapan dan akan menurun bilamana kadar pengangguran meningkat dan jangkaan ekonomi mengalami kegawatan.  Dengan penubuhan gagasan kerjasama ekonomi serantau seperti NAFTA, AFTA dan EC, pemasar harus memikirkan apakah kesan kemasukan produk dari negara lain ke dalam pasaran tempatanserta juga sekatan yang dikenakan oleh sesebuah negara lain untuk produk yang dikeluarkan oleh syarikat tempatan.  Kewujudan GATT memberi pengaruh terhadap corak perdagangan antara negara di dunia.  Ini sudah pastinya memberi cabaran hebat kepada syarikat dalam mengambil kira persekitaran ekonomi dalaman dan luaran yang tidak menentu untuk melaksanakan pelan pemasaran mereka.

Persekitaran Persaingan

Pemasar harus meyakinkan pembeli untuk membeli produk keluaran mereka daripada yang ditawarkan oleh syarikat lain.  Persaingan antara pengeluar semakin bertambah bilamana pengguna terdedah kepada berbagai saluran maklumat.  Pengeluar juga harus mengambilkira perkembangan yang berlaku di luar negara kerana ianya turut memberikan saingan terhadap barangan syarikat.

Categories: Share

Leave a Reply